Terpaksa buat kerja lain demi keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat
MAT Jalil meneliti hakisan pantai di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi. Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 10 Ogos – Nelayan di Kampung Tanjung Dahan, di sini terpaksa mencari alternatif mendapatkan rezeki selepas tidak mampu turun ke laut akibat hakisan pantai sejak dua bulan lalu.

Sebahagian besar daripada 100 nelayan terbabit terpaksa berbuat demikian bagi memastikan isteri dan anak mempunyai wang perbelanjaan mencukupi, apatah lagi ketika kos sara hidup yang makin meningkat.

Kamarudin Yusof, 61, berkata beliau kini terpaksa mengambil upah menjahit jaring atau pukat tauke nelayan yang memiliki bot besar dan iamemerlukan modal lebih besar berbanding nelayan pinggir pantai yang menggunakan perahu kecil sepertinya.

“Hakisan pantai menyebabkan saya tidak dapat turun ke laut kerana perahu sukar ditolak menuruni tebing pantai yang terbentuk akibat hakisan yang semakin teruk.

“Kalau saya berjaya menolak perahu turun ke laut pun, saya tidak boleh menarik perahu naik ke pangkalan kerana tebing setinggi kira-kira dua meter itu terlalu tinggi untuk dilepasi perahu,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Mat Jalil, 71, berkata perahu milik anaknya juga tidak mampu ditolak melepasi tebing berkenaan dan masalah itu semakin membebankan berikutan ombak besar yang dikenali nelayan sebagai ‘ribut barat’ sering melanda sejak sebulan lalu.

“Apakan daya nelayan tidak dapat turun ke laut dan mereka terpaksa membuat kerja lain seperti mengambil upah bertukang untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya.

Borhan Yusof, 54, berkata beliau berusaha meratakan tebing yang semakin meninggi akibat hakisan tetapi kerja berkenaan menjadi sia-sia kerana setiap kali dia meratakannya, tebing meninggi semula berikutan pukulan ombak besar.

Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah segera mengatasi masalah berkenaan kerana ia semakin membebankan kehidupan nelayan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sementara itu, Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, jabatan itu masih berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri bagi menjalankan kerja pembaikan pantai di kampung berkenaan.

“JPS sudah mendapat peruntukan RM500,000 tetapi bukan untuk Kampung Tanjung Dahan, sebaliknya untuk menjalankan kerja pembinaan tembok penahan ombak di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak yang menghadapi masalah yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta nelayan Kampung Tanjung Dahan supaya bersabar sementara menunggu jabatan itu mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri.

Views:

390
Kongsi :
Previous post Masyarakat jangan mudah leka
Next post Norhizam letak jawatan pengakap
Ubah saiz-+=