Terpedaya ‘cinta’ patung beruang, jururawat rugi RM55,800

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 20 Nov. – Padah terlalu percaya cinta lelaki yang mahu menghadiahkan patung beruang, seorang jururawat kerugian RM55,800 setelah menjadi mangsa terbaharu sindiket Love Scam di negeri ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Deputi Superintenden Fazli Rashid berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 32 tahun berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial Instagram awal Oktober lalu.

Menurutnya tidak lama kemudian, suspek mula memperdaya mangsa dengan menggunakan identiti palsu dan mendakwa ada mengirimkan hadiah berupa patung beruang untuk anak-anak mangsa sebagai tanda persahabatan mereka.

“Selepas itu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa sebagai ejen sebuah syarikat penghantaran untuk menghantar barangan tersebut kepadanya.

“Bagaimanapun, suspek memaklumkan kiriman itu selain anak patung, turut mengandungi barangan berharga seperti jam tangan, telefon bimbit, barang kemas dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, ejen syarikat kurier tersebut kemudian telah menakutkan mangsa kononnya dia akan ditangkap kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram kerana bungkusan hadiah itu turut mengandungi wang tunai.

Jelasnya, bagi membebaskannya daripada dakwaan itu, suspek meminta mangsa membuat sejumlah bayaran.

“Mangsa yang takut dan percaya dengan permintaan suspek terus melakukan transaksi bayaran ke empat akaun bank berbeza keseluruhannya berjumlah RM55,800.

“Bagaimanapun, jururawat berkenaan akhirnya menyedari ditipu setelah suspek masih lagi menuntut wang daripadanya,” katanya.

Menurut Fazli, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan tipu.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya segera membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Bayi tujuh hari putus tangan digigit anjing: Bapa saudara didenda RM1,000
Next post PKPB Melaka tamat esok
Ubah saiz-+=