Teruja, hasrat mahu jadi imam tercapai
KLEBANG 27 Februari -“Kalau tidak bersunat macam mana hendak jadi imam, sudah lama saya tunggu untuk imamkan solat,” itu kata Muhammad Raihan Naufal Mohd Razeaf, 11.
Murid Tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput itu bersama adiknya Muhammad Aisy Aslam, 9, antara 130 peserta yang menyertai Program Berkhatan Perdana Peringkat Parlimen Tangga Batu di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, di sini, semalam.
Menurut Muhammad Raihan Naufal, disebabkan amat teruja untuk menjadi ‘orang dewasa’ seawal 6.30 pagi dia sudah bangun dan bersiap untuk menghadiri program itu.
“Selain tidak sabar untuk bersunat saya juga teruja apabila diberitahu kami juga akan dimandikan oleh bomba sebelum program bermula.
“Tipulah kalau kata tidak sakit, rasanya seakan digigit semut sahaja selepas itu tiada apa-apa,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Anak Melaka (PPAM) Mohd Shamsul Mat berkata, Program Berkhatan Perdana itu diadakan bagi membantu meringankan beban ibu bapa khususnya golongan B40.
“Ini penganjuran pertama program berskala besar membabitkan lebih 100 peserta dan diadakan secara percuma tanpa ada sebarang bayaran.
“Program ini terbuka kepada semua kerana kita ingin membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan. Kita tahu ada diantara ibu bapa yang tidak mampu untuk menghantar anaknya bersunat memandangkan sekarang ini bayaran agak tinggi,” katanya.
Terdahulu, program itu disempurnakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.