Sorting by

×

Thaipusam di Melaka disambut meriah

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BACHANG 5 Februari – Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Devasthaanam, di sini, berlangsung dalam suasana meriah apabila dihadiri lebih 3,000 penganut agama Hindu.

Mereka yang hadir bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan, malah ada yang membawa belanga berisi susu di atas kepala sebagai simbolik menyempurnakan nazar yang dipanggil ‘Paal Koodam’.

Bagi A Subramaniam, 68, berkata, setiap tahun sambutan Thaipusam di kuil itu amat ditunggu-tunggukan kerana amat meriah memandangkan ia yang terbesar di Melaka.

“Saya bersama dua anak dan cucu seawal 6.30 pagi sudah sampai kerana anak mahu menunaikan nazar mandikan susu anaknya.

“Suasana hari ini memang meriah seperti selalu, cuma untuk dua tahun sebelum ini sahaja kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana pandemik,” katanya.

IMG_20230205_125633_149
BATU BERENDAM 05 JANUARI 2023. Penganut beragama hindu berarak membawa ‘paal koodam’ (belanga berisi susu) dalam upacara keagamaan mereka sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Devasthanam, Batu Berendam, Melaka. Perarakan yang bermula jam 9 pagi dari kuil Sri Sundra Moorthy Vinayagar menuju kuil Sri Subramaniar Devasthanam sejauh 3 kilometer dengan mengambil masa 40 minit berjalan kaki. Foto: MR. AZLI

Bagi Samantha Jane, 18, pula berkata, selepas dua tahun tidak dapat ke kuil menyempurnakan upacara sambutan Thaipusam kerana COVID-19, dia amat teruja dapat meluangkan masa walaupun hanya sekejap di kuil.

“Sebelum ini saya dan keluarga pergi ke Kampung Chetti namun tahun ini buat pertama kalinya kami ke sini, suasana sambutan memang meriah.

“Walaupun agak sesak dan ayah perlu parkir agak jauh namun itu tidak menghalang kami,” katanya.

IMG_20230205_130323_645
BATU BERENDAM 05 JANUARI 2023. Peniaga, AK Maliga, 60, menyediakan makanan sempena sambutan Thaipusam di kuil Sri Subramaniar Devasthanam, Batu Berendam, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, bagi peniaga makan AK Maliga, 60, berkata, seawal 5 pagi, penganut Hindu mula memasuki perkarangan kuil dan jumlah kehadiran akan makin bertambah pada waktu tengah hari.

“Sudah 25 tahun saya berniaga di sini, boleh dikatakan setiap tahun memang meriah kerana bukan sahaja orang Melaka akan ke sini tetapi dari Johor dan Negeri Sembilan juga.

“Hari ini saya lihat lebih meriah, tidak kira anak kecil, orang dewasa dan tua sama-sama datang ke kuil, sudah pasti ada nazar yang hendak mereka tunaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3583
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal parah tercampak ke kubur
Next post ‘Stairway To Heaven’ gamit pelancong ke Pengkalan Balak
Ubah saiz-+=