Sorting by

×

‘The Royal Press’ cetak sejarah Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 10 Jun – Kewujudannya sudah lebih satu abad, tetapi mesin dan peralatan digunakan untuk mencetak sejarah Melaka bermula seawal tahun 1900 masih lagi dipulihara dan dalam keadaan yang baik.

Bahan sejarah itu kini dipamerkan untuk tatapan umum di ‘The Royal Press’ Jalan Hang Jebat, di sini, merupakan muzium Polyglot Letterpress tertua dunia.

Pada zaman kegemilangannya The Royal Press menyediakan perkhidmatan kraf percetakan ‘letterpress’ bermula dengan penggunaan mesin percetakan ‘Hand-Fed Jobbling Platen’ yang dibeli oleh bapa pengasas The Royal Press iaitu mendiang Ee Lay Swee.

SEBAHAGIAN koleksi barangan yang terdapat di ‘The Royal Press’ yang merupakan muzium Polyglot Letterpress tertua di dunia bertapak di Jalan Hang Jebat sejak lebih 100 tahun lalu.

Pemandu Pelancong Muzium The Royal Press, Muhammad Al-Amin Mohd Fadeli berkata, letterpress polyglot menyediakan perkhidmatan percetakan dalam tulisan Jawi, Cina, Tamil dan Roman (Bahasa Inggeris dan Melayu).

“Itu adalah keistimewaan The Royal Press yang menjadi satu-satunya muzium letterpress polyglot di dunia.

“Letterpress adalah teknik cetakan menggunakan blok disusun, disapu cat pada permukannya, sebelum ditekap keatas kertas bagi mengehasilkan bahan penerbitan.

“Kami menyimpan tujuh jenis mesin cetak, ada yang dibeli pada tahun 1900, 1940 dan 1950. Saya pernah ke muzium di negeri lain, setakat ini belum jumpa mesin cetak yang sama macam di sini (The Royal Press),” katanya ketika ditemui MHI di muzium tersebut.

PENGUNJUNG meneliti mesin cetak dipamerkan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ujarnya, mengimbau sejarah kewujudan The Royal Press, pada era 1900 ianya sangat terkenal disebabkan kualiti kerana teknik percetakan dihasilkan yang sangat teliti serta sempurna.

“Saya ada berbual dengan orang lama di sini (Jonker Walk), mereka mengatakan The Royal Press ini sangat terkenal pada era dulu sebab kualiti dan tekniknya sangat teliti, mereka kata bertuah jika dapat bekerja di sini.

“Tawaran perkhidmatan pencetakan dihentikan pada tahun 2010, kerana kakitangan sudah berusia, permintaan pula semakin berkurangan kerana banyak mesin cetak moden dan canggih yang diperkenalkan.

“Tidak dinafikan pelbagai agensi ternama menggunakan perkhidmatan percetakan di sini termasuklah Kerajaan Negeri Melaka sendiri, Yayasan Sime Darby, Dunlop, Public Bank dan banyak lagi,” katanya.

SEBAHAGIAN bahan bersejarah yang dipamerkan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, perkhidmatan disediakan lebih kepada pencetakan asas akhbar, buku, menjlid buku, tiket bas dan wayang serta banyak lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2088
Kongsi :
Previous post Sulaiman, delegasi Melaka kunjung hormat Walikota Pekanbaru
Next post Pasang flap gate di Crystal Bay, elak risiko berlaku banjir
Ubah saiz-+=