Tiada arahan tutup operasi hotel di kawasan PKP

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PUTRAJAYA 23 Feb – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada hotel ditutup meskipun kawasan berkenaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengarahkan mana-mana hotel ditutup sama ada di kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, aktiviti pelancongan bagaimanapun hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP manakala kawasan PKP tidak dibenarkan sebarang aktiviti pelancongan.

“Walau bagaimanapun, saya percaya industri penghotelan di kawasan PKP juga memulakan operasi jika mempunyai restoran dalam hotel yang menerima pelanggan mengikut kapasiti meja asalkan mengamalkan penjarakan sosial.

“Jika ada hotel ditutup kerana kekurangan pelanggan atau sebagainya, itu tidak ada kena-mengena dengan arahan kerajaan.

“Hotel tidak ada sebab untuk ditutup kerana tidak ada arahan daripada kerajaan,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan pandemik COVID-19, di sini, hari ini.

Sementara itu beliau juga menjelaskan kekeliruan berkaitan sempadan daerah, sama ada menggunakan sempadan daerah pentadbiran atau daerah polis.

“Ramai mengadu mereka ditahan dan dikompaun oleh polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) dalam daerah sedangkan pergerakan dalam daerah sama adalah dibenarkan.

“Untuk makluman sempadan daerah yang digunakan adalah sempadan daerah pentadbiran dan bukan sempadan daerah polis.

“Bagi mereka yang telah dikompaun dalam kes-kes sebegini, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada
KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) melalui Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah
kompaun yang dikeluarkan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post Suami isteri curi barang farmasi, pasar raya ditahan
Next post Memperkasa Pedagogi Digital Era Covid-19
Ubah saiz-+=