Tiada jaminan ADUN BN sedia ada dicalonkan semula pada PRU15 – Saarani

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SERI ISKANDAR, 22 Jun – Tiada jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) sedia ada di Perak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata ia bergantung kepada keadaan semasa termasuk kehadiran calon-calon muka baharu yang berpotensi menggantikan calon lama seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum ini.

“Kita (BN Perak) sudah mula dapatkan senarai daripada bahagian. Pada waktu sama, kita perlu buat kajian daripada pihak berkaitan agar calon yang kita pilih boleh memenangkan BN,” katanya selepas melancarkan Jentera BN Bahagian Parit di sini, kira-kira 40km dari Ipoh tengah malam semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata pihaknya telah bersedia untuk ke medan perang pilihan raya bagi mendapat kembali kepercayaan pengundi.

“Alhamdulillah komitmen semua ahli parti dan jentera memang amat tinggi bagi memastikan kemenangan calon BN baik di Parlimen mahupun di dua DUN iaitu Belanja dan Bota pada PRU15 nanti,“ kata Mohd Nizar.

Perak mempunyai 59 kawasan DUN iaitu 25 ADUN BN dengan semuanya daripada UMNO, Bersatu (tujuh), PAS (tiga), DAP (16), Parti Amanah Negara (lima) dan PKR (tiga).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post Enam pelajar pusat tahfiz di Seri Iskandar terselamat dalam kebakaran
Next post Jabatan Kesihatan siasat kes kematian bayi baru lahir di Likas
Ubah saiz-+=