Tiada pencemaran air di pusat sampah haram

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

SUNGAI RAMBAI 22 Okt – Penemuan tapak bekas lombong pasir yang dijadikan pusat pelupusan sampah haram di Batu Gajah, Merlimau, tidak menjejaskan sumber air kawasan penduduk berikutan tiada aliran ke sungai berhampiran dari kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil tindakan drastik dengan segera menyita kawasan berkenaan bagi mengenal pasti dalang dan motif di sebalik kegiatan haram itu.

Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam semalam berhubung perkara itu dan MPJ serta beberapa agensi termasuk Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bergegas ke lokasi itu bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Katanya, pemeriksaan dan siasatan awal mendapati kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai longgokan sampah termasuk sisa sampah domestik; sisa klinikal; bahan binaan dan sisa industri.

“Tindakan awal kita akan sita kawasan ini supaya tidak dicerobohi dan meletakkan penguatkuasa untuk memantau kawasan itu serta menjalankan siasatan lanjut mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 174 (Akta 133).

“Bagaimanapun air kolam berkenaan tidak melibatkan mana-mana punca sumber air utama penduduk, namun pihak BKSA akan mengambil sampel air bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) Tahun 2014 untuk mengenal pasti sama ada wujud pencemaran air.

“Manakala SWCorp akan mengeluarkan notis kepada pemilik tanah bagi menjalankan siasatan terhadap pembuangan bahan sisa tersebut mengikut Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672),” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, maklumat awam diterima daripada Pejabat Daerah dan Tanah Jasin memaklumkan kawasan tapak bekas lombong itu dimiliki dua pemilik tanah.

“SWCorp maklumkan tadi kemungkinan kontraktor berkaitan tidak mahu membuang sisa buangan di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang, jadi mereka mencari kawasan berhampiran yang boleh dibuang tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

“Dengan penemuan itu, SWCorp akan menghantar notis serta memberi tempoh 14 hari kepada pemilik tanah untuk membersihkan kawasan tersebut, jika gagal kita akan keluarkan kompaun,” katanya.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, pihaknya turut mendapati berlaku pencemaran bau berlaku dari tapak pelupusan haram itu sehingga mengganggu aktiviti harian penduduk terutama di Kampung Batu Gajah Barat.

Jelasnya, perkara itu turut dibimbangi berlaku pembiakan nyamuk Aedes sekaligus mengancam kesihatan penduduk sekitar.

“Difahamkan daripada maklumat orang kampung, memang ada bau kurang menyenangkan di Kampung Batu Gajah Barat terutama ketika hari hujan dan angin kuat.

“SW Corp juga akan menjalankan siasatan terhadap sisa klinikal yang dibuang di sini kerana sisa itu tidak sepatutnya dibuang di sini, ada lokasi tertentu,” katanya.

Berikutan itu, beliau memohon orang ramai serta penduduk sekitar yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu bagi membanteras kegiatan haram terbabit.

 

Views:

1249
Kongsi :
Previous post Polis buru lelaki larikan duit tabung masjid
Next post Kajian perlu dilakukan untuk kenal pasti punca hakisan pantai
Ubah saiz-+=