Polis buru lelaki larikan duit tabung masjid

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 22 Okt. – Perbuatan seorang lelaki yang mengumpil tingkap untuk masuk ke dalam masjid dan melarikan duit sumbangan tabung masjid berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di Masjid Al-Falihin Kampung Alai, Kandang, semalam.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 2.20 pagi, apabila lelaki terbabit menceroboh masuk ke dalam masjid.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, laporan polis berhubung kejadian dibuat kariah masjid kira- kira jam 6.51 pagi selepas mendapati tingkap masjid terdapat kesan umpil.

Beliau berkata, maklumat awal yang diterima pihaknya, terdapat lima tabung di masjid berkenaan bagaimanapun, hanya satu tabung yang terbabit dengan anggaran kerugian kira- kira RM300.

“Kami dimaklumkan, kali terakhir kutipan dibuat pihak masjid pada Jumaat minggu lalu dan kutipan duit dari tabung sumbangan dibuat seminggu sekali selepas solat Jumaat.

“Pihak polis kini sedang meneliti rakaman CCTV di masjid berkenaan bagi mengenal pasti identiti suspek,” katanya.

Afzanizar berkata, hasil semakan ke atas CCTV itu menunjukkan ciri-ciri suspek iaitu seorang lelaki bertubuh gempal dan memakai pelitup muka memasuki ruangan solat wanita.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian turut mendapati tingkap di bahagian tepi masjid berhampiran mimbar diumpil dan jeriji tingkap turut dipotong.

“Usaha mengesan suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Views:

486
Kongsi :
Previous post Tapak pelupusan sampah haram dipenuhi sisa klinikal dan industri dikesan
Next post Tiada pencemaran air di pusat sampah haram
Ubah saiz-+=