Tiada pengumuman nama calon sebagai duta, usah panjang berita tular di media sosial

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KUANTAN, 15 Jan – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menasihatkan semua pihak supaya tidak memanjangkan nama atau isu berkaitan lantikan duta yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini kerana ia tidak membantu dari segi hubungan baik Malaysia dengan negara luar.

Beliau juga berkata Wisma Putra tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan nama calon yang sedang dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara.

“Lazimnya, lantikan ini (ketua perwakilan Malaysia) dibuat melalui saluran diplomatik dan di Malaysia, kita hanya akan tahu apabila semuanya telah selesai dan diumumkan dengan cara yang baik dan mudah-mudahan menghasilkan hubungan bilateral yang baik,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Reflisia Timur Berhad di dewan KRT Cenderawasih di sini hari ini.

Tanpa menyebut mana-mana nama pada sidang media itu, Saifuddin berkata proses lantikan boleh mengambil masa antara tiga ke enam bulan dan pelantikan itu adalah rasmi apabila individu berkenaan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas mengenai lantikan ketua perwakilan Malaysia di luar negara, Saifuddin berkata terdapat dua kategori mereka yang boleh dilantik iaitu dalam kalangan pegawai perkhidmatan diplomatik dan bukan dalam kalangan pegawai diplomatik yang boleh meliputi bekas menteri, bekas pegawai kerajaan dan Ahli Parlimen yang masih berkhidmat.

Ditanya mengenai kriteria yang membolehkan mereka bukan daripada pegawai perkhidmatan diplomatik mengisi jawatan itu, Saifuddin berkata ia melibatkan mereka yang difikirkan boleh mendatangkan hubungan baik antara kedua-dua negara selain pengalaman individu berkenaan.

“Amalan ini berlaku di banyak negara dan apabila kita memilih seorang calon, ia harus melalui proses penilaian yang ketat dan telus yang mana setiap calon akan melalui tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Setelah selesai tapisan, barulah nama calon itu akan dikemukakan ke negara penerima melalui saluran diplomatik, yang seterusnya (nama calon) akan menjalani proses kelulusan mengikut dasar dan polisi negara tersebut sebelum diperakui. Ini bermaksud ada dua tapisan perlu dilalui,” katanya.

Di sesetengah negara termasuk Malaysia, nama calon yang diterima dari negara luar akan dikemukakan ke Kabinet oleh Menteri Luar untuk dipertimbangkan manakala terdapat negara yang menetapkan supaya perkara itu memerlukan kelulusan Parlimen.

Saifuddin berkata di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, negara penerima mempunyai hak mutlak untuk mempertimbangkan calon tanpa memaklumkan sebab kepada negara penghantar jika mereka menolak cadangan nama calon berkenaan.

“Dalam kebanyakan keadaan, penolakan sesebuah negara terhadap sebarang pencalonan adalah disebabkan oleh prinsip yang dipegang negara itu dan bukanlah disebabkan oleh calon tersebut dan bukan juga atas status hubungan diplomatik. Masing-masing negara ada kaedah dan kriteria tersendiri,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post Agong, Permaisuri ziarah keluarga pengiring bermotosikal yang maut kemalangan
Next post Penemuan mayat: Polis Kuala Selangor mintak pihak hilang ahli keluarga tampil ke balai
Ubah saiz-+=