Tiada sebab untuk rombak kabinet – Mohd Redzuan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 18 Okt. – Tiada sebab untuk merombak barisan menteri kabinet memandangkan kerajaan hari ini sudah berfungsi dengan baik.

Demikian pendirian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Menurutnya, buat masa ini tiada sebarang perbincangan ke arah itu (rombakan kabinet), sekali gus menepis ura-ura mengaitkan perjumpaan di antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin-pemimpin utama dalam Perikatan Nasional hari ini, yang akan membincangkan mengenai perkara tersebut.

“Saya baru lepas bermesyuarat dengan Perdana Menteri petang tadi (semalam). Tiada langsung dibincangkan mengenai rombakan kabinet. Buat masa ini semua berfungsi dengan baik.

“Jika tiba suatu ketika dinampakkan kabinet tidak berfungsi dengan baik, ketika itu barulah keputusan perlu dibuat. Buat masa ini semua berfungsi baik dalam keadaan yang serba mencabar. Jadi bagi saya tidak perlu semua itu.

“Saya percaya dalam masa terdekat ini bakal diadakan satu perbincangan oleh ketua-ketua parti politik dalam Perikatan Nasional untuk mencapai satu kesepakatan dalam pentadbiran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Majlis Makan Malam bersama media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat untuk menolak pemimpin yang mengamalkan prinsip tidak tetap pendirian hanya untuk kepentingan peribadi.

Beliau mengambil contoh segelintir pemimpin masa kini yang hanya akan memberikan sokongan sekiranya mereka dibebaskan dari lunas undang-undang.

“Contoh seperti yang tular baru-baru ini kononnya si polan menyokong si polan. Lepas itu dia kata kenyataan yang keluar itu palsu. Sebenarnya bukan palsu, tetapi ia lebih kepada baling batu sorok tangan.

“Sebab itu saya katakan (mereka-mereka) ini tidak bertanggungjawab kerana hanya berniat untuk meresahkan rakyat di seluruh negara. Saya berpendapat perkara-perkara sebegini perlu dipertanggungjawabkan oleh individu-individu tertentu. Jadi, saya berharap mereka ini dapat bermuhasabah diri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya telah menjalankan tugas yang baik untuk rakyat.

Katanya, tiada keperluan untuk Muhyiddin mengibarkan bendera putih tanda mengalah, meskipun terdapat desakan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Views:

455
Kongsi :
Previous post Banjir di Jasin semakin pulih
Next post Siap siaga hadapi bencana banjir dalam norma baharu
Ubah saiz-+=