Siap siaga hadapi bencana banjir dalam norma baharu

0
502
ANGGOTA APM memantau banjir kilat di Kampung Terentang, Jasin. Foto arkib MHI

AYER KEROH 18 Okt. – Persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bakal membawa musibah banjir di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia kini sedang diperhebatkan, memandangkan buat pertama kali ia berlaku dalam musim pandemik COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya melalui beberapa agensi berkaitan sudah bersiap-sedia untuk menghadapi bencana berkenaan dalam suasana norma baharu, antaranya dengan menyediakan lebih 5,000 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung sehingga 1.5 juta mangsa.

Jelasnya, selain itu, petugas yang bertanggungjawab menguruskan pemindahan mangsa-mangsa banjir juga akan dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelakkan daripada berlakunya jangkitan pandemik COVID-19 yang sudah memasuki fasa gelombang ketiga di negara ini.

“Di pusat pemindahan juga kita telah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) khususnya membabitkan penjarakan fizikal. Jika dahulu satu pusat boleh tampung 50 mangsa, kita akan kurangkan kepada kapasiti 20 orang sahaja.

“Selain itu, kita juga sudah ada kesediaan dalam aspek-aspek lain seperti makanan, khemah-khemah dan kita juga sudah membuat perolehan untuk tambah baik aset-aset seperti bot, kenderaan pacuan empat roda dan lain-lain lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata persediaan itu dijangka cukup untuk menampung bencana banjir sehingga Mac tahun depan, iaitu pada penamat musim tengkujuh.