Tidak mengaku sumbang mahram adik kandung

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas adik bongsunya sejak enam tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 26 tahun bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sebaik kesemua lima pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi empat pertuduhan dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, tertuduh yang juga abang sulung daripada empat beradik itu didakwa melakukan persetubuhan dengan seorang remaja perempuan yang mana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan dibawah undang- undang/ hukum agama/ adat kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin dengan mangsa.

Justeru tertuduh, berdepan dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa, menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama yang kini berusia 17 tahun dengan cara menyentuh menggunakan tangan dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPR) Kampung Rim, Jasin, antara Jun 2014 sehingga pertengahan April 2020.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan mangsa adalah adik kandung tertuduh dan dibimbangi dia akan mengacau ganggu mangsa, yang mana boleh menjejaskan kes.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan terhadapnya dikurangkan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Norma, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan dengan syarat tambahan dia tidak mengacau ganggu mangsa, sekiranya berlaku jaminan terhadapnya akan ditarik balik serta merta.

Mahkamah kemudian, turut menetapkan 17 Ogos depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Views:

886
Kongsi :
Previous post Pengusaha belacan ‘tersepit’
Next post JKN Melaka kenal pasti kontak rapat kluster PUI Novgorod
Ubah saiz-+=