Tidak perlu lagi ‘berteman’ air hujan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ASAHAN 10 Mei – “Setiap kali hujan turun, saya hanya mampu reda sahaja kerana di setiap ruang rumah pasti akan bocor kalau hujan turun.

“Sebelum ini rumah basah, lantai pun bertanah tetapi saya bersyukur kerana kesusahan saya mendapat perhatian dan rasa bagai bermimpi kini mendiami kediaman yang lebih selesa,” kata Salmah Muhammad, 80.

Salmah merupakan salah seorang asnaf yang menerima bantuan menerusi Program Baik Pulih Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Kampung Air Repat, di sini.

Luah warga emas itu, dia yang tinggal berdua bersama anak orang kurang upaya (OKU), Abdul Karim Mahad, 58 ternyata lebih bersinar selepas rumahnya dibaik pulih oleh Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini kami hanya tinggal di rumah papan yang tandasnya rosak, malah teratak yang didiami lebih 10 tahun ini tidak mempunyai dapur untuk memasak.

“Ditambah keadaan yang tidak sihat akibat masalah urat sendi dan perlu mendapatkan rawatan doktor setiap bulan saya hanya bergantung hidup dengan bantuan makanan dan keperluan dapur daripada MAIM.

“Hanya ungkapan terima kasih mampu saya ucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan dan seluruh warga MAIM yang terlibat membantu saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Salmah telah menerima penyerahan replika kunci disampaikan Fairul Nizam di kediamannya sambil disaksikan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Warga emas itu menerima bantuan baik pulih rumah bagi membaiki dinding, lantai, dapur dan bumbung dengan kos keseluruhan bernilai RM25,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
Kongsi :
Previous post Jangan diam jika alami kesusahan hidup
Next post MOF minta orang ramai berwaspada penipuan STR, SARA
Ubah saiz-+=