Tidak pernah banjir, ini kali pertama

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER LIMAU 20 Dis – Selepas 17 tahun menghuni kediaman di Taman Wira Indah, Lubok China di sini, penduduk meluahkan pengalaman pertama dilanda banjir kelmarin.

Ahmad Nazri Mohd Noor, 53 berkata, sejak menghuni kediamannya sejak taman itu dibuka 17 tahun lalu, kediamannya dan penduduk yang lain tidak pernah dilanda banjir.

Bagaimanapun kata bapa kepada dua anak berusia 11 dan 19 tahun itu,
air deras dari Sungai Berembang yang masuk ke dalam kediamannya pada jam 5 pagi kelmarin memberikan pengalaman baharu kepadanya sekeluarga.

“Sejak menghuni rumah di sini pada 2004, inilah kali pertama kami mengalami banjir dan pengalaman ini amat meletihkan.

“Sebelum ini, Kampung Banggol Atap yang berhampiran taman ini yang sering dilanda banjir tetapi kali ini, sebahagian besar daripada penduduk taman ini pula yang berhadapan dengan banjir.

“Bagaimanapun, air hanya naik hingga paras kira-kira satu kaki (0.3 meter) pada jam 5 pagi kelmarin dan surut mulai jam 5 petang semalam,” katanya ketika ditemui mencuci kediamannya hari ini.

MOHD Rohaizad membasuh motosikal yang dikotori lumpur akibat banjir di Taman Wira Indah, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Sementara itu, Mohd Rohaizad Salam, 33, berkata dia yang tinggal di Alor Gajah bergegas ke kediaman ibunya di taman itu sejurus dihubungi ibunya mengenai kejadian banjir berkenaan.

“Saya bergegas ke taman ini pada jam 6 pagi kelmarin tetapi tidak boleh melepasi arus deras di laluan masuk ke taman ini dan terpaksa menunggu hingga air surut petang semalam.

“Alhamdulillah, ibu, ayah dan dua adik saya yang berada di rumah ini selamat dan kami bersama-sama membersihkan rumah sejak malam tadi,” katanya.

Dia berkata, pengalaman membasuh kediaman yang dinaiki air bukan setakat meletihkan, malah meruntun sanubarinya kerana kebanyakan perabot rosak teruk.

MOHD Azan (kiri) dan Mohd Azan mengangkat barangan sudah rosak akibat banjir untuk dibuang di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Pasangan kembar, Mohd Azan Ramli dan Mohd Azim, 27, berkata mereka terpaka meminjam kenderaan milik Koperasi Paya Lebar di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina untuk mengangkut bahan buangan yang rosak teruk akibat banjir.

Mohd Azan berkata, walaupun pernah mengalami banjir pada Oktober lalu, namun ia tidak seteruk yang berlaku kelmarin.

“Pada Oktober lalu rumah kami dinaiki air setinggi satu kaki tetapi kali ini air naik hingga lima kaki lebih (lebih 1.5 meter),” katanya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Paya Lebar sementara menunggu air surut sepenuhnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Semua hutan lipur di N. Sembilan ditutup sementara – JPNS
Next post Larian amal PMM bantu badan kebajikan Melaka
Ubah saiz-+=