Tiga anggota polis ditahan kerana peras ugut

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Tiga anggota dari Balai Polis Ampang ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes pemerasan terhadap seorang ejen menjual kenderaan di Jalan Persiaran Pandan Prima, Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Selasa lepas, dua anggota polis dari Unit Ronda Bermotorsikal lengkap beruniform telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu lelaki berusia 30 tahun.

Beliau berkata susulan pemeriksaan, anggota berkenaan mendakwa lelaki itu melakukan kesalahan, sebelum meminta sejumlah wang tunai.

“Akibat takut, mangsa menyerahkan wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke akaun seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya hasil siasatan tiga anggota berusia 36 hingga 44 tahun ditahan kira-kira 2 petang semalam yang disyaki terlibat, dan semakan mendapati kesemua mereka telah berkhidmat dengan pasukan lebih dari 10 tahun

Mohamad Farouk berkata polis sedang berusaha mengesan suspek yang masih bebas, terutama pemilik akaun yang menerima pemindahan wang dalam kes berkenaan, dan siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dengan kes lain yang mempunyai modus operandi sama.

“Orang ramai yang pernah mengalami kes seumpama ini diminta tampil untuk membuat laporan polis. Kita tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan jenayah,” katanya dan menambah semua suspek direman empat hari. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1437
Kongsi :
Previous post Culik dan bunuh rakan sebab hutang
Next post Suami isteri beli sijil vaksinasi palsu, demi bonus
Ubah saiz-+=