Suami isteri beli sijil vaksinasi palsu, demi bonus

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 13 Jan – Demi mendapatkan bayaran bonus penjawat awam, suami isteri sanggup membelanjakan RM1,000 untuk membeli sijil vaksinasi COVID-19 palsu.

Namun, tindakan itu mengundang padah apabila mereka ditahan jam 4 petang, Selasa lalu selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Arshad Abu berkata, sijil vaksinasi palsu berkenaan dibeli daripada rakan suspek berusia 58 tahun yang juga orang tengah.

Katanya, ketiga-tiga individu berkenaan adalah penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.

Jelasnya, suami isteri masing-masing berusia 38 dan 33 tahun itu dipercayai membayar RM500 seorang untuk membeli dan memuat turun sijil palsu itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rakan pasangan berkenaan mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin palsu daripada seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘VNilai’.

“Ketiga-tiga suspek ditahan susulan laporan diterima daripada pengadu iaitu seorang pegawai tadbir sebaik dimaklumkan pengarah jabatan yang mencurigai sijil vaksinasi pasangan berkenaan.

“Pada 31 Dis lalu, pengadu menghantar surat ke Klinik Kesihatan Rembia untuk tujuan semakan dan pengesahan berhubung status vaksinasi pasangan berkenaan.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek belum divaksin,” katanya.

Arshad berkata, pihaknya merampas telefon bimbit ketiga-tiga suspek dan mereka direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Menurutnya, sebelum ini suspek tampil membuat laporan kerana enggan divaksin atas sebab-sebab tertentu.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum satu tahun sehingga 10 tahun, denda dan sebatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Tiga anggota polis ditahan kerana peras ugut
Next post Ibu tunggal daif dapat perhatian kerajaan negeri
Ubah saiz-+=