Tiga ditahan samun kedai guna pistol mainan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Polis Melaka berjaya menumpaskan kegiatan samun berkumpulan dipercayai menggunakan pistol mainan di beberapa premis sekitar daerah Melaka Tengah, 6 dan 7 Mei lalu.

Ia selepas tertangkapnya tiga suspek iaitu lelaki berusia dalam lingkungan 33 hingga 38 tahun ditahan di sekitar kawasan Jasin, petang kelmarin, tidak sampai 24 jam selepas laporan diterima.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, kegiatan itu dilakukan di tiga buah premis iaitu kedai runcit, kedai gajet dan kedai menjual beg di sekitar Telok Mas, Krubong dan Taman Tambak Paya Harmoni membabitkan kerugian berjumlah RM1,150.

Katanya, susulan penahanan itu, pihak polis turut merampas satu objek menyerupai sepucuk pistol, dua buah kereta, sebuah motosikal, empat buah telefon bimbit, satu bilah parang, satu bilah pisau dan pelbagai jenis pakaian.

“Semakan mendapati kesemua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek pertama berusia 33 tahun merupakan bekas anggota polis yang dibuang kerja pada tahun 2021 kerana pembolosan, manakala suspek kedua berusia 36 tahun merupakan anak bekas anggota polis di daerah Jasin.

“Suspek ketiga berusia 38 tahun yang dikenali sebagai ‘Bacin’ pula merupakan seorang pelukis pelan di sebuah jabatan kerajaan yang masih berkhidmat sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 9 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

234
Kongsi :
Previous post Windmill Pink Market: ‘Port’ santai Sungai Melaka
Next post Keputusan SPM 2023 diumum 27 Mei – KPM
Ubah saiz-+=