Tiga lagi mayat dipercayai mangsa bot karam dijumpai

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA TINGGI, 16 Dis – Tiga lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini, ditemukan pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin itu ditemukan pada 10 pagi manakala satu lagi mayat lelaki pada 10.54 pagi.

“Dua mayat dijumpai terdampar di pesisir pantai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian manakala satu lagi mayat ditemukan terdampar lebih kurang 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, lima mayat ditemukan antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi tadi yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Dengan penemuan ini, 19 mayat telah ditemukan setakat ini manakala 17 mangsa dipercayai masih hilang.

Sementara itu, Simon berkata hasil saringan ke atas 14 pendatang tanpa izin yang terselamat mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati susulan penemuan tiga mayat antara 10 pagi dan 10.54 pagi itu, pasukan bertugas mengambil masa kira-kira sejam bagi menguruskan kelapan-lapan mayat yang dijumpai hari ini untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat.

Selain itu, lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan tugasan dan rondaan mencari saki baki mangsa.

Lebih 10 petugas media berkumpul di lokasi kejadian sejak dari awal pagi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil turut meninjau lokasi kejadian.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

760
Kongsi :
Previous post PM seru rakyat bersatu ketika negara berusaha keluar daripada krisis pandemik
Next post Tembak mati: Suspek memandu kereta secara berbahaya – Polis Sarawak
Ubah saiz-+=