Tiga lelaki ditahan seleweng diesel bersubsidi
PAYA RUMPUT 2 September – Taktik sekumpulan lelaki menggunakan lori tiga tan untuk membeli diesel di stesen minyak sekitar negeri ini dan Negeri Sembilan berjaya dihidu pihak berkuasa.
Kumpulan itu diberkas pihak berkuasa dalam serbuan dijalankan di sebuah gudang, di Krubong, di sini, jam 4 petang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil serbuan pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh, berusia 32 hingga 50 tahun.
Christopher berkata, pihaknya turut merampas 36,000 liter diesel, wang tunai RM26,000 empat set pam minyak, hos, tiga tangki termasuk lori tangki dan lori tiga tan dengan nilai keseluruhan RM302,530.
“Sindiket dipercayai menjadikan gudang terbabit sebagai pusat operasi bagi memindahkan minyak dari lori tiga tan ke tangki penyimpanan sementara menunggu peraih datang membelinya.
“Sebelum serbuan pasukan risikan mengekori pergerakan kumpulan ini, bermula dengan pembelian diesel hingga bahan bakar itu dibawa ke stor penyimpanan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Polis Melaka Tengah Superintendan Halim Abas, di sini, hari ini.
Menurutnya, peraih membeli bahan bakar itu pada harga RM2.15 seliter dan dipasarkan ke pasaran gelap dengan harga jualan antara RM3.50 hingga RM4.00 seliter.
“Pembeli pula adalah dalam kalangan pengusaha industri. Suspek ditahan dan akan dibawa ke mahkamah bagi proses permohonan reman. Kes akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.