Tiga lelaki Indonesia ditahan seludup keluar secara haram

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 19 Februari – Tiga lelaki warga Indonesia ditahan dipercayai cuba menyeludup keluar dari negara ini secara haram dalam serbuan di Pantai Puteri awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum bot ronda Op Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak ke lokasi berkenaan.

Katanya, pihaknya menahan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 0.1 batu nautika barat daya pasa jam 6.00 pagi tadi.

“Pemeriksaan ke atas bot yang menggunakan enjin Mercury 40 kuasa kuda dan Suzuki 30 kuasa kuda mendapati, tekong serta awak-awak telah berjaya terjun meloloskan diri.

“Bagaimanapun, terdapat tiga penumpang lelaki warganegara Indonesia masing-masing berumur 35, 47 dan 53 tahun masih berada dalam bot.

“Pemeriksaan lanjut , salah seorang daripadanya gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah dan kesemua didapati cuba keluar dari Malaysia secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiga lelaki berkenaan bersama bot dinaiki dibawa ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba keluar melalui pintu yang tidak diwartakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti salah laku mahupun kecemasan di laut boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang berpoperasi 24 jam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1039
Kongsi :
Previous post JKN selamatkan 44 papa, beri perlindungan
Next post ‘Rider Grab’ derma mata dan buah pinggang, beri sinar kepada pesakit lain
Ubah saiz-+=