Tiga pesanan Merdeka buat rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 31 Ogos – Tiga pesanan Merdeka disuarakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam memastikan rakyat di negeri ini sama-sama menghayati sambutan Hari Kebangsaan Ke 63 pada tahun ini.

Pesanan pertama beliau adalah meminta agar rakyat dapat mengukuhkan semangat
perpaduan dan kebersatuan dalam kalangan masyarakat, demi persiapan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran semasa serta era akan datang.

Beliau turut merayu kepada rakyat agar sama-sama suburkan nilai- nilai murni dan patriotisme dalam kalangan rakyat, dengan menanamkan roh serta semangat mencintai negeri serta negara yang wajib
di pertahankan bersama.

Manakala pesanan ketiga beliau adalah, mengajak semua untuk mewajah dan mewariskan sebuah negeri yang lestari atas kerangka tunjang Melaka Rumahku yang maju jaya, sejahtera dan bahagia.

Ianya buat masyarakat masa kini serta generasi mendatang di mana nikmat kemakmurannya boleh dirasai oleh semua golongan, tidak kira petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga, penjawat awam, cikgu, pensyarah, penarik beca dan pemandu teksi serta kelompok B40.

Sulaiman, dalam ucapannya juga berkata, walaupun adakalanya timbul suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman antara sesama rakyat, dengan meniupkan isu dan sentimen api perkauman sebagai rakyat kita perlulah menolak faham sedemikian.

“Rakyat Malaysia khususnya Melaka secara keseluruhan perlulah menolak fahaman sempit sedemikian dengan tetap berpegang kepada prinsip tasamuh atau tolak ansur serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Ia sebagaimana yang digariskan dalam kerangka prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke 63 Peringkat Negeri Melaka di sambut di Seri Negeri, di sini.

Hadir pada majlis itu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Hari Kebangsaan 2020 dalam norma baharu penuh bermakna
Next post Rukun Negara asas perpaduan nasional dan pembentukan negara
Ubah saiz-+=