Tiga remaja mengaku tidak bersalah culik kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JOHOR BAHRU, 27 Dis – Tiga remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dua minggu lepas.

Tertuduh Jonathan Yet, 18, dan dua lagi remaja berusia 15 dan 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama telah menculik kanak-kanak berkenaan di tepi Jalan Serampang, di sini, kira-kira pukul 5.15 petang, 12 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala kesemua tertuduh tidak diwakili.

Terdahulu, Shamira menawarkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, dan mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin kepada Jonathan manakala bagi dua remaja berkenaan, masing-masing dibenarkan ikat jamin RM2,500 dan dikena syarat supaya jaminan itu adalah daripada ibu, bapa atau penjaga.

Mahkamah menetapkan 23 Jan depan sebagai sebutan semula kes, lantikan peguam serta penyerahan laporan akhlak dan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada 12 Dis lepas, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap di Singapura cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan dilaporkan selamat.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1039
Kongsi :
Previous post Tiga ‘shuttle bus’ percuma untuk pengunjung malam 31 Disember
Next post Segamat daerah kedua dilanda banjir di Johor
Ubah saiz-+=