Tingkat ilmu kendali bot, siap siaga hadapi bencana

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 3 Mei – Penganjuran kursus latihan menyelamat dan pengendalian bot merupakan antara inisiatif terbaik dalam memberi pendedahan kepada sukarelawan atau individu untuk mendalami prosedur menyelamat dengan betul ketika menghadapi bencana khususnya banjir.

Pengerusi Angkatan Pertahanan Awam Bersekutu Negeri Melaka, Mike Thein berkata, kursus yang diadakan itu mengandungi beberapa silibus yang merangkumi aspek penting dalam aktiviti penyelamatan selain memberi pendedahan suasana sebenar ketika berlakunya bencana.

“Sebelum ini kita pernah mengadakan kursus seperti ini namun untuk siri ini ia lebih menyeluruh dan terdapat beberapa silibus baharu yang kita rangkum bagi memastikan setiap peserta ini dapat merasakan suasana sebenar ketika berlakunya bencana seperti banjir.

“Selain menekankan aspek pengendalian bot, turut disertakan cara untuk menarik bot dengan betul serta bagaimana cara penyelenggaraan sesebuah bot serta navigasi kenderaan yang terbabit.

“Kesimpulannya kursus ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta sebelum menyertai aktiviti menyelamat,” katanya.

Menurutnya, penganjuran kursus siri pertama tahun ini yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu bertempat di Restoran Seafarer, Klebang Besar, itu disertai seramai 30 peserta berusia 20-an hingga 58 tahun dari enam buah negeri.

“Antara 30 peserta itu empat adalah wanita dan mereka ini datang dari Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Kuala Lumpur. Jadi apabila berlakunya banjir mereka ini boleh dikatakan sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk turun dan menyelamat penduduk yang terjejas.

“Kita sentiasa bersedia dalam memberi perkhidmatan dan memberi kursus sama ada kepada individu mahupun pihak yang berminat untuk mendalami ilmu penyelamatan serta pengendalian bot dengan betul dan efisien,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

55
Kongsi :
Previous post Petronas Penapisan Melaka kini dikenali sebagai ‘Melaka Energy Park’
Next post Akhyar Rashid cedera disamun
Ubah saiz-+=