Tingkat pemahaman ummah mengenai institusi baitulmal

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BUKIT BARU 28 Februari – Penganjuran Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024 di Melaka Mac ini, bakal meningkatkan lagi pemahaman dan menyebar luas maklumat mengenai kepentingan institusi baitulmal dalam usaha memperkukuhkan lagi sosioekonomi ummah.

Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, konvensyen dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Mac di Hotel Hatten itu adalah anjuran bersama MAIM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Katanya, konvensyen julung kali dianjurkan di Negeri Melaka bertemakan ‘Melestarikan Baitulmal, Merintis Malaysia Madani’, itu dijangka dihadiri 400 peserta dari seluruh negara termasuk pembentang kertas kerja.

“Majlis pembukaan konvensyen akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, manakala perasmian penutup pula oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Konvensyen ini juga secara tidak langsung dapat menjana dan mengumpul idea cendekiawan Islam daripada pelbagai bidang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM Dr. Ridzwan Bakar, antara enam pembentang kertas kerja pada konvensyen terbabit.

Mohd Hairulamin berkata, antara tajuk yang akan dibentangkan adalah Pelaksanaan Peraturan-Peraturan Baitulmal; Ekosistem Ekonomi Halal Dalam Mendokong Penciptaan, Pengurusan dan Pengagihan Kekayaan Dalam Negara; Ekosistem Zakat Sebagai Pemerkasaan Ekonomi dan Pengurusan Harta Mafqud.

“Kepada orang ramai berminat untuk bersama-sama memeriahkan majlis ilmu ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi urusetia MAIM bagi pengesahan kehadiran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post KPKM optimis dapat kemuka penyelesaian isu padi, beras seperti diarah PM
Next post MPHTJ bantu perkasa aspek pendidikan
Ubah saiz-+=