Tipu rentas negeri untuk edar dadah

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

BANDA HILIR 25 Nov. – Menggunakan alasan melawat orang sakit dengan surat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengaburi pihak berkuasa untuk merentas negeri.

Taktik empat suspek termasuk seorang wanita berstatus janda berusia antara 29 hingga 36 tahun itu bagaimanapun tumpas selepas ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai RM80,000 dalam serbuan terhadap dua kereta di tempat parkir kereta sebuah hotel di Melaka Raya di sini pada jam 8.45 malam, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, dua suspek lelaki berusia 34 dan 36 tahun ditahan dalam kereta Perodua Axia, manakala dua lagi suspek termasuk wanita masing-masing berusia 36 dan 29 tahun ditahan dalam kereta lain jenis sama.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kedua-dua kenderaan yang disewa kumpulan terbabit, polis menemui dua bungkusan ketulan mampat kristal yang dibaluti plastik berwarna hijau kuning tertera tulisan ‘Qing Shen Refined Chinese Tea’ yang diletakkan dalam plastik berwarna hitam.

“Dalam ketulan mampat itu dipercayai mengandungi dadah jenis syabu (methamphetamine) seberat 2.13 kilogram (kg) yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang di salah sebuah kereta tersebut.

SHARUL (tengah) menunjukkan kenderaan yang digunakan sindiket pengedaran dadah.

“Hasil serbuan itu turut menemukan satu paket plastik dipercayai dadah jenis sama seberat 3.36 gram diletakkan dalam kotak rokok.

“Kesemua dadah itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 10,000 penagih dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM80,450,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini.

Mengulas lanjut, siasatan lanjut mendapati tiga suspek lelaki yang ditahan berasal dari Pahang manakala suspek wanita yang berusia 29 tahun itu berasal dari negeri ini.

“Ketiga-tiga suspek lelaki tersebut menipu untuk merentas negeri dari Pahang dengan menggunakan alasan untuk melawat orang sakit menggunakan borang permohonan rentas negeri dari PDRM.

“Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sejak bila ketiga-tiga suspek itu berada di negeri ini dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Menurut Sharul Lalli, siasatan lanjut turut mendapati tiga suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, manakala suspek wanita tersebut bersabit kesalahan membabitkan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek termasuk wanita tersebut positif syabu, manakala seorang lagi negatif,” katanya.

Jelasnya, semua suspek direman tujuh hari bermula kelmarin sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Views:

572
Kongsi :
Previous post Pencemaran Sungai Punggur Paya Redan: Kilang proses ayam tidak terlibat – JAS Melaka
Next post Laporan semasa banjir Daerah Alor Gajah setakat jam 4 petang
Ubah saiz-+=