TMM2024: Panorama Melaka bakal miliki 63 bas

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 16 September – Panorama Melaka Sdn. Bhd. bakal memiliki 63 unit bas, sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan kecekapan pengangkutan awam di negeri ini khusus sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti.

Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd. Rohazam Bakar berkata, mengikut perancangan semua bas berkenaan akan beroperasi pada tahun hadapan dan pihaknya kini sedang menunggu kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, Panorama Melaka memiliki 24 unit bas dan jika perancangan itu diluluskan APAD, jumlah laluan akan ditambah kepada 24 bagi seluruh Negeri Melaka berbanding hanya 17 sahaja ketika ini.

Rohazam berkata, sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri Panorama Melaka turut merangka pelbagai perancangan sepanjang TMM2024 khusus membabitkan kemudahan pengangkutan awam di negeri ini.

“Kami memberikan tumpuan kepada pendigitalan, dengan memasang papan digital di setiap perhentian. Selain itu di setiap perhentian akan diletakkan kod imbasan QR bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat mengenai masa laluan dan pelbagai lagi maklumat lain.

“Perancangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat selain perlu melalui peringkat percubaan untuk melihat kebolehlaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Promosi TMM2024 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Pada majlis sama Ab Rauf turut menyempurnakan pelancaran aplikasi ‘ETA GPS Journey Planner Cashless’ dan Bus On Demand ‘Kumpool Kasturi’ sebagai usaha meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengangkutan awam Negeri Melaka.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalannya, Datuk Zaidi Attan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1496
Kongsi :
Previous post Bangga lahir pada Hari Malaysia
Next post Lapan bas untuk Zon Bebas Kenderaan
Ubah saiz-+=