TMM2024: Pengunjung mahu ke Taman Laut boleh hubungi ejen kembara MATTA Melaka.

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERKAM 6 Februari – Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Jabatan Perikanan negeri dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka akan menjadi penyelaras bagi mempromosi Taman Laut Melaka.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, Taman Laut merupakan produk pelancongan baharu yang diketengahkan untuk aktiviti melibatkan pulau dan laut sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, pelbagai aktiviti dan pakej menarik dirangka pemain industri pelancongan menerusi MATTA negeri yang telah mula dijual minggu lalu.

“BPP dan Jabatan Perikanan akan selaraskan berapa ramai pengunjung dibenarkan ke Taman Laut dalam tempoh sebulan bagi menjaga ekosistem terumbu karang dan hidupan marin di empat pulau terlibat iaitu Pulau Nangka, Undan, Besar dan Dodol.

“Manakala MATTA negeri selaku badan yang akan menjadi ejen mempromosi pakej-pakej yang disediakan di Taman Laut kepada pengunjung.

MATTA mempunyai 20 ejen kembara berdaftar akan menguruskan pengunjung dengan memberi promosi lengkap daripada proses menyewa bot, tiket ke Taman Laut, ‘island hoping’, selam skuba serta pelbagai lagi aktiviti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Fam Trip Trip Bersama Ejen Pelancongan dan Pihak Berkepentingan Taman Laut Negeri Melaka di Dewan Perbincangan Medan Selera Pantai Siring, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin; Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut Zaidi turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA Melaka dan syarikat pelaksana, Eco District yang diwakili Presidennya, Ravefenizal Ropee Adam.

Dimaklumkan MoU terbabit melibatkan kerjasama penjualan pakej Taman Laut Melaka dan Melaka Nature Epic Challenge 2024.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata pengunjung yang mahu ke Taman Laut, boleh menghubungi pihak MATTA atau layari laman web Taman Laut untuk sebarang tempahan.

“Taman Laut ini produk baharu dan kita harap pengunjung yang mahu maklumat lanjut untuk layari MATTA dan Taman Laut (Jabatan Perikanan Melaka) dan mereka inilah yang akan membantu menguruskan perjalanan anda.

“Kita juga merancang pelbagai penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memudahkan urusan pengunjung seterusnya beri keselesaan kepada semua pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

889
Kongsi :
Previous post Peniaga kecil, pengusaha inap desa, chalet dipelawa jayakan Program Cabutan Bertuah
Next post 96 pemohon terima Notis 5A
Ubah saiz-+=