Toh Puan Zurina selamat dikebumikan

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BUKIT PALAH 18 Ogos – Jenazah Allahyarhamah Toh Puan Zurina Kassim selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al Azim, kira-kira jam 10 malam tadi.

Terdahulu, Allahyarhamah yang juga isteri mantan Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, dibawa ke Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Dewan Seri Negeri, di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh kira-kira jam 7.30 malam untuk penghormatan terakhir dan seterusnya dibawa ke Masjid Al Azim untuk solat jenazah sekali lagi yang disertai kira-kira 1,000 jemaah.

Solat jenazah dan bacaan talkin dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

IMG_20220818_215343_763
MELAKA 18 Ogos – Suasana solat jenazah Isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Toh Puan Zurina Kassim di Masjid Al Azim Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir pada majlis pengebumian itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan; Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

IMG_20220818_220332_468
TUN Mohd Khalil hadir untuk menunaikan solat jenazah di Masjid Al Azim. Foto Iqmal Haqim Rosman

Turut mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamah ialah suaminya Tun Khalil bersama anak Allahyarhamah Datuk Mahmud Mohd Khalil.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Toh Puan Zurina, 78, dilahirkan di Duyong, pada 13 Julai 1944, mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mohd Khalil pada 28 Februari 1965 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Allahyarhamah mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru sebelum ke Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur.

Sebagai isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka Allahyarhamah cakna dengan rakyat Melaka dan menjadi pengasas Yayasan Toh Puan Zurina bagi membantu golongan kurang bernasib baik, khusus pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3579
Kongsi :
Previous post Lebih 2,000 sertai bacaan Yasin dan doa kesyukuran Melaka
Next post Empat rumah terbakar, enam penghuni hilang tempat tinggal
Ubah saiz-+=