Tourism Malaysia sekali lagi menang Anugerah Organisasi Negara Terbaik 2021/2022

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JAKARTA, Dis 16 – Tourism Malaysia terus menerima pengiktirafan apabila sekali lagi merangkul anugerah berprestij ‘National Organisation of the Year’ di Anugerah Kembara dan Pelancongan Indonesia (ITTA) ke 12 anjuran Yayasan ITTA.

Ini merupakan kejayaan kali kedua berturut-turut agensi promosi pelancongan itu di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, selepas dinobat anugerah sama pada 2019/20.

Anugerah disampaikan Pengasas Yayasan ITTA Panca Rudolf Sarungu pada malam Rabu kepada Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Haryanty Abu Bakar.

Agensi itu diiktiraf kerana usaha aktif mempromosikan pelancongan dua hala antara Indonesia dan Malaysia dalam keadaan dunia yang terus berubah akibat pandemik COVID-19.

“Ia juga untuk membakar semangat pemain industri dengan harapan setiap pemenang menjadi sumber inspirasi bagi yang lain dalam menghadapi 2022 dengan semangat baru,” kata Panca.

Haryanty berkata anugerah itu suatu kebanggaan untuk pasukan agensi serta seluruh pihak yang terlibat dalam industri pelancongan.

“Tourism Malaysia sentiasa optimis akan kejayaan industri pelancongan Malaysia dan Indonesia tahun depan serta berharap pandemik segera berakhir dan pintu sempadan dibuka semula,” katanya.

Beliau mensasarkan 200 pelancong Indonesia akan menyertai program Langkawi International Travel Bubble sehingga awal Januari 2022 didorong cuti perayaan Krismas dan tahun baharu yang semakin hampir.

Pelancong Indonesia boleh melawat tanpa kuarantin dengan tinggal sekurang-kurangnya tujuh hari di Pulau Langkawi sebelum ke destinasi lain seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka yang merupakan destinasi utama mereka.

Setakat 13 Disember, lebih 32 pelancong Indonesia telah mengikuti program yang bermula sejak 15 November 2021, kata Haryanty.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1316
Kongsi :
Previous post Thaipusam: Halimah tinjau lokasi sambutan untuk perkemas SOP
Next post 11 loji ayam di Thailand, China masih sah status lulus eksport – Jakim dan JPV
Ubah saiz-+=