Tower Hunt TMM2024 bakal libatkan 4 menara

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 23 Disember – Program Tower Hunt iaitu program berkonsepkan pencarian ‘treasure hunt’ bakal dianjurkan pada skala lebih besar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun depan.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, program itu dicadang akan melibatkan empat buah menara di Malaysia iaitu Menara Taming Sari (Melaka), Menara Kuala Lumpur, Menara Kuantan (Pahang) dan Menara Alor Setar (Kedah).

Kata beliau, perancangan itu dibuat selepas melihat kejayaan program julung kali dianjurkan, hari ini, yang berjaya menarik kira-kira 100 peserta dari seluruh negara.

“Kita menyasarkan untuk tahun hadapan ia akan disertai seramai 600 peserta melibatkan semua menara yang ada di Malaysia.

“Program seperti ini merupakan antara usaha dalam kita memacu pertumbuhan sektor pelancongan, selain ia juga membantu kita bersiap sedia dalam menyambut Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD 2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.

“Malah, selain dalam negara, kita juga berhasrat mengembangkan program berkonsep seperti ini di negara tetangga kita seperti di Indonesia yang mana ia boleh menjadi salah satu usaha dalam menggalakkan pertukaran pelancong di antara dua buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Tower Hunt Menara Taming Sari 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Bhd (MTSB) Azlan Abidin dan lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Azlan memaklumkan pihaknya sedia menyahut cabaran dalam menganjurkan Tower Hunt pada skala lebih besar tahun hadapan bersempena TMM2024.

Katanya, program tersebut dijangka akan diadakan lebih awal iaitu sekitar Julai atau Ogos 2024 dengan sasaran ia akan diadakan selama tiga hari dua malam.

“Ini adalah salah satu usaha untuk mempromosikan Menara Taming Sari dan menara-menara lain sebagai antara destinasi pilihan untuk pelancong.

“Malah kita juga mahu program ini menjadi sebahagian acara dalam menyemarakkan sambutan TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1670
Kongsi :
Previous post KPDN Melaka ‘terjah’ peniaga cuba ambil kesempatan
Next post Naik Menara Taming Sari percuma 20 Februari 2024
Ubah saiz-+=