Tragedi di tali air: Budak lelaki lemas, seorang masih hilang

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dipercayai bermain tali air di Kampung Gelam, Tanjung Keling di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Muhammad Fakhrullah Rozami, 9 ditemukan lemas oleh orang awam manakala seorang lagi masih belum ditemui.

Difahamkan, dua kanak-kanak berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki yang juga kembar mangsa lemas bermain di tali air berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.46 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan terdapat tiga kanak-kanak bermain di kawasan berkenaan sebelum seorang daripadanya dipercayai terjatuh ke dalam tali air tersebut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

“Seorang mangsa dikhuatiri hilang manakala seorang lagi dipercayai kembar lelaki kepada mangsa yang meninggal dunia telah pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Zulkhairani berkata, berikutan itu beliau meminta bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bagi membantu mencari mangsa hilang di kawasan tali air.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) setakat jam 12.30 tengah malam di lokasi kejadian mendapati operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post COVID: Kes terus naik mendadak, masyarakat dirayu amal kawalan pergerakan kendiri
Next post UPDATE : Kanak-kanak hilang ditemui lemas
Ubah saiz-+=