Tuduhan membunuh bayi ke atas remaja masih boleh dikaji semula – Jabatan Peguam Negara

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Jabatan Peguam Negara (AGC) masih boleh meneliti dan mengkaji semula pertuduhan membunuh bayi lelaki baru dilahirkan yang dikenakan terhadap seorang remaja, kepada pertuduhan lain.

AGC menerusi kenyataan memaklumkan ia setelah mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kejadian rogol ke atas remaja perempuan itu yang berumur 14 tahun 11 bulan.

Jabatan berkenaan memaklumkan remaja berkenaan akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan orang yang dituduh itu adalah seorang kanak-kanak seperti mana takrifan di bawah Akta 611 dan jika disabitkan kanak-kanak itu akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2).

Di bawah seksyen itu pesalah muda ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

Menurut AGC, pertuduhan ke atas remaja itu adalah satu proses keadilan jenayah yang telus tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.

“Maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas remaja tersebut ditangkap, di mana satu laporan polis dibuat olehnya pada 8 Feb 2022. Susulan daripada laporan polis itu satu kertas siasatan dibuka dan siasatan masih dijalankan,” menurut jabatan itu.

Menurut AGC, laporan polis berkaitan kertas siasatan itu telah dibuat pada 8 Feb lepas oleh seorang pegawai perubatan yang memaklumkan bahawa pada hari berkenaan 9 pagi, semasa sedang bertugas di Klinik Kesihatan Seri Bandi, Kemaman, Terengganu beliau telah dimaklumkan mengenai satu kes bersalin di rumah.

“Pada jam lebih kurang 9.10 pagi, pengadu bersama pasukan telah ke lokasi dan terlihat satu perempuan sedang memegang bayi berhampiran sinki dapur. Pengadu juga mendapati tali pusat bayi telah dipotong dengan menggunakan benda tajam.

“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan yang dikemukakan, Pejabat Pengarah Pendakwan Negeri telah memberi kebenaran untuk pertuduhan ke atas remaja itu yang berumur 14 tahun 11 bulan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kematian bayi dilahirkan itu,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu menyatakan bahawa, pertuduhan dibuat berasaskan keterangan saksi-saksi dan dokumentasi serta keterangan pegawai forensik dan pengesahan pakar patologi bahawa bayi yang mati itu berumur antara 38 hingga 40 minggu dengan berat 2.49 kg semasa dilahirkan dengan tali pusat telah dipotong dengan benda tajam dan terdapat kecederaan lain termasuk satu tikaman pada bahagian badan bayi tersebut.

Pada 15 Feb lepas, remaja itu didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman di Terengganu atas pertuduhan dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi di negeri itu antara 7 hingga 9 pagi, 8 Feb lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post KKM diberi dua hingga tiga minggu bentang SOP, cadangan buka sempadan kepada kabinet
Next post Penguasa kanan SPRM guna US$6.94 juta wang rampasan beli aset mewah
Ubah saiz-+=