PUSAT PEMBERIAN VAKSIN MELAKA

Tujuh juta rakyat Malaysia masih belum ambil dos penggalak COVID-19

BERA, 11 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai tujuh juta rakyat Malaysia masih belum mengambil dos penggalak COVID-19 setakat ini dan menasihati mereka segera berbuat demikian.

Beliau berkata walaupun suntikan itu tidak diwajibkan, namun ia amat penting memandangkan kes positif COVID-19 kembali menunjukkan peningkatan selain turut membantu berdepan varian baharu wabak itu terutamanya Omicron BA.5 yang lebih mudah menjangkiti.

“Walaupun tiada paksaan (untuk mengambil dos penggalak), tetapi saya menasihatkan mereka yang belum menerima suntikan itu untuk mengambil booster bagi melindungi diri sendiri daripada jangkitan dan jika mempunyai simptom, segera berjumpa doktor untuk kepastian,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Parlimen Bera 2022 di Masjid Darul Fikri di sini hari ini.

Ditanya jika terdapat perancangan untuk kembali membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam skala besar mengambil kira jumlah mereka yang belum menerima dos penggalak, Ismail Sabri berkata perkara itu akan ditentukan Kementerian Kesihatan sama ada terdapat keperluan berbuat demikian.

Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menutup semula sektor ekonomi atau sebagainya walaupun kes positif COVID-19 kini kembali meningkat.

“Kehidupan akan berjalan seperti biasa cuma kita perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan keluarga termasuk mengambil suntikan dos penggalak,” katanya.

Ismail Sabri berkata rakyat juga dinasihatkan supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak dijangkiti COVID-19 walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.

“… ini termasuk walaupun tidak lagi wajib memakai pelitup muka di kawasan terbuka, namun kita boleh mengambil inisiatif sendiri untuk melindungi diri jika berada di kawasan yang ramai orang,” katanya.

Mengenai program hari ini, Ismail Sabri berkata menjadi tradisi tahunan di Parlimen Bera untuk mengadakan program korban perdana dengan tahun ini sebanyak 79 ekor lembu diagihkan kepada semua kawasan dan jabatan kerajaan sekitar daerah ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
9 Previous post Temui ajal ketika tunggu sumbangan daging korban
photo1653803602 Next post Pasukan Jihad peroleh bukti ketirisan minyak masak ke negara jiran – Annuar