Temui ajal ketika tunggu sumbangan daging korban

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

LENDU 11 Julai – Hasrat seorang lelaki Orang Kena Pengawasan (OKP) untuk menerima sumbangan daging korban tidak kesampaian apabila secara tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di sini pagi ini.

Ketika kejadian jam 10.15 pagi itu, Allahyarham Ab Malek Bakar, 55, hadir bersama-sama 20 OKP yang lain menunggu giliran untuk menerima sumbangan berkenaan.

Arwah antara kira-kira 20 OKP di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Alor Gajah yang dijemput untuk mengambil sumbangan berkenaan.

Secara tiba-tiba arwah terjatuh dari kerusi dan rebah di kaki tangga bangunan itu sebelum beberapa lelaki segera mengangkatnya untuk didudukkan di atas kerusi sebelum dibawa masuk ke dalam pejabat pusat itu.

Pembantu Perubatan (MA) Klinik Kesihatan Masjid Tanah yang hadir dengan menaiki ambulans pada jam 10.30 pagi bagaimanapin mengesahkan arwah sudah meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung.

Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah menutup jenazah Ab Malek Bakar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah hari ini. Foto Din Ahmad

Anak saudara arwah, Khairul Anuar Helmi, 24, berkata dia membawa arwah yang masih bujang hadir di pusat berkenaan atas jemputan pihak pengurusan pusat berkenaan dengan kerjasama AADK Daerah Alor Gajah.

“Arwah bapa saudara tinggal bersama-sama kami di Kampung Solok Air Batu, Durian Daun, dekat Masjid Tanah dan ketika saya membawanya dengan kereta pagi tadi, arwah kelihatan sihat.

“Bagaimanapun, arwah memang ada penyakit darah tinggi dan selalu membawa ubat ke mana-mana,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, ketika arwah terjatuh dari kerusi, dia sedang mendapatkan tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan berkenaan.

Sejurus dia tiba di khemah berkenaan, dia terkejut apabila mendapati orang ramai mengerumuni arwah bapa saudaranya yang berdarah di kepala akibat terhentak pada kaki tangga.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat arwah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan punca kematian hanya akan dikenal pasti selepas bedah siasat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post MAFI import 12,000 lembu korban
Next post Tujuh juta rakyat Malaysia masih belum ambil dos penggalak COVID-19
Ubah saiz-+=