Tukang cuci dituduh ugut bunuh adik saudara

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Seorang tukang cuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, atas dua pertuduhan mengugut dan mendatangkan kecederaan terhadap adik saudaranya di Pokok Mangga 7 Ogos lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, B Mageswaran, 38 didakwa mengugut mahu membunuh hingga menyebabkan ketakutan terhadap adik saudara lelakinya yang berusia 27 tahun di sebuah rumah pangsa di Pokok Mangga pada jam 9.15 malam.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Mageswaran pada waktu sama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap sepupunya menggunakan sebilah pisau potong sayur.

Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tiga tahun dan denda atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam.

Bagaimanapun, tertuduh memohon hukuman dikurangkan kerana tertuduh mendakwa ketika kejadian dia tidak sedar melakukan kedua-dua kesalahan akibat mabuk.

Mageswaran juga turut menyatakan dia memiliki keluarga dan menanggung isteri serta dua anak.

Majistret Teoh Shu Yee menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Shu Yee turut menetapkan syarat Mageswaran tidak mengganggu mangsa dan kes sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Oktober ini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post Kerajaan diharap laksanakan lebih banyak program kesejahteraan rakyat – Agong
Next post PM komited bawa negara kembali kepada keadaan normal
Ubah saiz-+=