Tumpu kawasan berbukit, taktik baharu penyeludup daun ketum – PGA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PADANG BESAR 8 Nov – Penyeludup daun ketum kini dikesan menukar modus operandi mereka dengan menumpukan kawasan berbukit bagi menyeludup tumbuhan itu ke negara jiran kerana menganggap kawasan tinggi sukar dihidu pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Azhar Hashim berkata penyeludup beranggapan PGA hanya memberi penekanan penugasan di sekitar pagar sempadan di kawasan rata dan hal itu tidak benar kerana anggota serta pegawai keselamatan melakukan rondaan serta pemeriksaan sepanjang masa di setiap kawasan.

“Bentuk muka bumi fizikal yang berbukit, hutan tebal serta tinggi itu membuatkan mereka (penyeludup) beralih arah ke sini (Wang Kelian). Mereka (penyeludup) beranggapan kawasan yang mereka buat aktiviti itu tidak dipantau oleh PGA.

“Mereka salah kerana kita tetap gerakkan anggota untuk pantau di seluruh kawasan sempadan negara kerana penyeludupan daun ketum ini salah di sisi undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata permintaan daun ketum yang tinggi di negara jiran selain aktiviti ekonomi yang semakin pulih juga menyebabkan penyeludup kembali aktif menjalankan kegiatan haram itu terutamanya di kawasan Wang Kelian.

Dalam pada itu, Azhar berkata sepanjang penugasan PGA sejak 24 Okt lepas, pihaknya merampas lebih 2.9 tan (2,934 kilogram) daun ketum menerusi lapan kes yang tiga daripadanya berlaku di Wang Kelian, sebuah kereta dan menahan dua lelaki pendatang tanpa izin warga Myanmmar.

Menurut beliau, PGA menemukan daun-daun ketum itu yang disembunyikan di kawasan kebun getah dan dilitupi dengan kanvas bagi mengelirukan pihak berkuasa.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post PH tawar ‘janji’ pelan tindakan Rabu ini
Next post Polis Melaka terima dua laporan calon bawa penyokong
Ubah saiz-+=