Tun Mohd Ali figura berjiwa rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 25 Ogos – Menjadi anak Melaka pertama dilantik Yang di-Pertua Negeri Melaka membuatkan Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam mendapat tempat paling istimewa bagi rakyat negeri ini.

Mana tidaknya, visi dan komitmen beliau sepanjang memimpin negeri ini suatu ketika dahulu sedikit sebanyak menjadi antara penyumbang kemajuan negeri pada hari ini.

Selain itu, bapa kepada tiga anak itu turut dikenali sebagai pemimpin yang ramah dan sering berdamping dengan masyarakat.

Memasuki tahun ketiga bergelar Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7, Tun Mohd Ali tidak pernah dilupakan rakyat negeri ini dan apa jua program yang disertai beliau pasti akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

3
TUN Mohd Ali bersama rakyat Melaka pada program Joging Melaka MADANI 2023 di Duyong, baru-baru ini. Foto: MR. AZLI

Seorang surirumah, Zalina Md Ali, 57, berkata, keramahan Tun Mohd Ali adalah sesuatu yang paling ‘mahal’ sebagai seorang pemimpin negeri.

Katanya, keperibadian bekas Ketua Menteri Melaka kesembilan itu membuatkan rakyat tidak kekok untuk mendekatinya.

“Beliau sering mendengar apa sahaja aduan atau masalah rakyat dan saya sendiri pernah bersemuka dengan Tun Mohd Ali untuk meluahkan masalah sebelum ini dan beliau menunaikan janji untuk membantu saya.

“Sepanjang bergelar pemimpin, Tun seorang yang memberi maklum balas dengan cepat dan sebab itulah beliau sangat disenangi,” katanya.

Sementara itu, seorang juruhebah, Khairudin Abd Ghani menyifatkan Tun Mohd Ali sebagai seorang yang merendah diri dan bersahaja, selain sanggup melupakan protokol untuk mendampingi rakyat.

5
MENYANTUNI pelajar tahfiz pada Majlis Bacaan Yasin Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Ciri-ciri yang ada pada beliau membuatkan Tun Mohd Ali menjadi pemimpin yang disayangi rakyat.

“Malah, beliau juga seorang yang murah dengan senyuman dan sentiasa mendengar masalah rakyat negeri ini,” katanya.

Tidak hanya disenangi orang Melayu, keperibadian Tun Mohd Ali turut mendapat tempat bagi masyarakat Cina dan India.

Menurut Yong Cheau Ling, dia telah mengenali Tun Mohd Ali selama lebih 20 tahun dan sangat kagum dengan perspektif beliau sebagai pemimpin.

Katanya, walaupun menjawat jawatan besar, anak jati Bukit Katil itu sentiasa merendah diri apabila bersama rakyat.

“Mengenali beliau, saya boleh simpulkan Tun seorang yang baik, rajin bekerja dan senang untuk berurusan. Beliau juga merupakan seorang yang bertanggungjawab dan mudah untuk didekati,” ujarnya.

photo1692524406
MARY LEO

Nada sama turut disuarakan Mary Leo, 59 yang menganggap Tun Mohd Ali sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

“Saya mengenali Tun sejak kecil dan beliau suka membantu rakyat tanpa mengira kaum atau warna kulit.

“Auranya sebagai pemimpin juga lain dengan yang lain kerana beliau sentiasa murah dengan senyuman dan suka menyantuni masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem pula menjadikan Tun Mohd Ali sebagai seorang ikon pemimpin Melaka yang wajar dicontohi.

“Seperti sedia maklum Tun Mohd Ali pernah menjadi Ketua Menteri dan hala tuju beliau menjadi contoh kepada saya, apa dilakukan beliau dahulu sebagai Ketua Menteri terbukti berjaya mengubah Melaka kepada satu dimensi yang berbeza.

“Waktu itulah bermula ke arah pembangunan negeri yang rancak, bersih yang tidak boleh ditandingi negeri-negeri lain, ini sebagai penanda aras kepada saya untuk terus bekerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada hari ini,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3589
Kongsi :
Previous post Bayi masih hidup ditemui dalam tong sampah
Next post Uniknya Muzium Rakyat Banda Hilir
Ubah saiz-+=