Tunggu laporan JPM, tanam semula pokok bakau di Tanjung Tuan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 19 Mac. – Kerajaan negeri sedang menunggu laporan Jabatan Perhutanan Melaka (JPM) bagi menanam semula anak pokok bakau yang terjejas akibat tumpahan minyak di Perairan Tanjung Tuan pada 13 Oktober tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghaafar Atan berkata, ketika ini kajian terperinci sedang dijalankan bagi memastikan tanah di kawasan terjejas sudah sedia untuk digunakan.

“Kita menunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan Melaka bahagian kajian jika tanah di situ sudah sesuai dan pulih sepenuhnya untuk proses penanaman semula pokok bakau.

“Walaupun kita tak dapat bersihkan 100 peratus kesan tumpahan minyak itu, namun kita doakan pokok-pokok bakau itu selamat dan dapat tumbuh dengan sempurna selepas ini,” katanya.

SEBAHAGIAN jemputan yang hadir pada Majlis Meraikan Petugas-Petugas Pembersihan Tumpahan Minyak di Perairan Tanjung Tuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Petugas-Petugas Pembersihan Tumpahan Minyak di Perairan Tanjung Tuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Untuk rekod seramai 398 petugas dari 23 jabatan dan agensi terlibat bagi kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di Tanjung Tuan pada 13 Oktober tahun lalu.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Unit Kerajaan Tempatan, Rosemanizam Mohd Nalif dan lain-lain.

Perairan Tanjung Tuan ‘bertukar hitam’ selepas Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka mengesan tumpahan minyak di perairan itu sehingga ke Teluk Kemang kira-kira 1.3 Batu Nautika menghala ke Pulau Perjudi.

Dianggarkan kira-kira 10 tan metrik isi padu minyak mencemari Perairan Tanjung Tuan sekali gus menjadi kes tumpahan minyak di laut terbesar di Malaysia tahun lalu yang tidak diketahui puncanya dan masih dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan bantuan APMM.

Susulan insiden itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengadakan lawatan pada 15 Oktober 2020 ke Tanjung Tuan bersama jabatan terbabit dan Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Negeri telah mengadakan lawatan kerja di Pantai Cermin Tanjung Tuan bagi memantau operasi pembersihan.

Kerja-kerja pembersihan pantai ditamatkan pada 19 Oktober 2020 oleh Pegawai Daerah Alor Gajah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

716
Kongsi :
Previous post Katalog Perundangan Negeri Melaka dilancarkan secara rasmi
Next post Lelaki berpangkat Datuk didakwa lupus, pindah, terima wang lebih RM8 juta
Ubah saiz-+=