Tuntut bayaran gantian cuti rehat

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan melaksanakan pembayaran tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan sudah lama meluluskan perkara itu namun sehingga kini belum ada penjawat awam menikmati kemudahan tersebut.

Menurutnya, walaupun pekeliling mengenai perkara itu telah dikuatkuasakan bermula Januari lalu namun ia masih tidak dilaksanakan.

“CUEPACS merasakan kerajaan tidak melaksanakan apa yang telah dijanjikan walaupun sudah diluluskan tetapi belum dapat dilaksanakan.

“Ia cuma sekadar isi borang tetapi penjawat awam tidak dapat lagi wang tunai yang dijanjikan kerana sehingga hari ini, belum ada ahli kita menikmati kemudahan itu.

“Kerajaan sudah meluluskan kemudahan itu tetapi pelaksanaanya amat lemah, jadi kita mohon supaya ada tindakan segera mengenainya dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada program Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu Semasa Bersama Presiden CUEPACS di Dewan Canselori UTeM di sini.

Perhimpunan dihadiri kira-kira 700 orang penjawat awam dari pelbagai sektor perkhidmatan seluruh negeri.

Kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2022 lalu bersetuju membenarkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari.

Sehubungan itu kata Adnan, kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan jawatankuasa pemantau untuk memastikan pekeliling itu yang telah diedarkan ke setiap jabatan kerajaan dilaksanakan dengan berkesan.

“Melalui maklum balas yang kita terima daripada ahli CUEPACS mengatakan pelaksanaanya setakat mengisi borang sahaja walhal kelulusan mengenainya sudah lama dibuat.

“Jadi kita harap pihak pemantau ini dapat ditubuhkan dan penjawat awam dapat menikmati kemudahan yang diharapkan.

“Ini kerana kebanyakan penjawat awam yang memohon GCR ini dari kalangan mereka berusia 45 tahun ke atas yang mana banyak keperluan mendesak,” katanya.

Jawatankuasa pemantau itu juga, kata beliau, turut berperanan memantau pelaksanaan semua perkara dasar yang sudah dipersetujui oleh kerajaan sekali gus memastikan setiap penjawat dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8381
Kongsi :
Previous post Pertumbuhan KDNK Melaka meningkat 2.0 peratus
Next post Kanak-kanak perempuan dipercayai dibunuh, ibu direman
Ubah saiz-+=