TVET bukan lagi bidang pendidikan kelas kedua – KM

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal menjadi bidang baharu yang akan memangkin pembangunan ekonomi negara pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, sebelum ini TVET sering kali di salah anggap sebagai pendidikan kelas kedua dan hanya untuk mereka yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.

Bagaimanapun, ujarnya, di negara-negara maju, pelajar-pelajarnya sudah mula menguasai bidang itu dengan memperlihat bilangan pelajar dalam aliran vokasional dan teknikal adalah tinggi.

“Sebagai contoh, di Jerman, bidang TVET diiktiraf sebagai satu daripada sistem pendidikan yang utama di mana saya difahamkan, kira-kira 70 peratus pelajar di negara tersebut memasuki aliran vokasional.

“Begitu juga dengan negara-negara maju di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit semula dengan pantas daripada kemusnahan akibat perang untuk muncul sebagai antara kuasa besar ekonomi dunia, hasil daripada pengukuhan bidang pendidikannya termasuk bidang TVET.

“Justeru, dengan menjadikan kedua-dua negara ini sebagai contoh, maka amat signifikan apabila Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis TVET Negeri Melaka, yang bertujuan memperkasakan bidang TVET ini sebagai ‘accelerator’ untuk memacu pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan penubuhan Majlis TVET Negeri Melaka dan perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerjaya Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

photo1667017806
SULAIMAN ketika berucap pada majlis berkenaan. Foto: MR AZLI

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bidang TVET juga telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Justeru, kata beliau, sudah sampai masa, bidang TVET menjadi antara pilihan utama anak-anak muda dan golongan belia untuk melanjutkan pendidikan, sekali gus mempersiapkan diri untuk menceburi kerjaya baharu masa hadapan.

“Pada dekad-dekad yang akan datang, bidang kerjaya tradisional akan semakin berkurangan dan akan muncul kerjaya-kerjaya baharu yang menawarkan pendapatan dan gaji yang sangat lumayan khususnya kerjaya dalam bidang TVET ini.

“Seperti semua sedia maklum, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan besar iaitu RM6.7 bilion di bawah tujuh kementerian utama bagi melaksanakan pelbagai inisiatif TVET sebagai usaha memperkasakan bidang ini untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berkemahiran, seterusnya berupaya mencipta kerjaya sendiri atau yang menjadi rebutan majikan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3031
Kongsi :
Previous post Tiga beranak maut: Pemandu lori direman tiga hari
Next post Melaka sasar 55 peratus lepasan SPM lanjut pengajian dalam bidang TVET
Ubah saiz-+=