Melaka sasar 55 peratus lepasan SPM lanjut pengajian dalam bidang TVET

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan 55 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sasaran itu ditetapkan selaras dengan ketetapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang mengenal pasti bidang itu sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan.

Kata beliau, bagi merealisasikan hasrat itu Majlis TVET Negeri Melaka telah ditubuhkan yang dianggotai 22 buah Institusi TVET di Negeri Melaka.

Katanya, majlis itu memainkan peranan dalam mempromosi Institusi TVET di negeri ini, selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data bertujuan memastikan tadbir urus lebih sistematik.

“Hasil penubuhan ini, Kerajaan Negeri bersama Majlis TVET Negeri Melaka telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan Karnival TVET Negeri Melaka 2022 yang julung kali diadakan, bertujuan untuk memperkenalkan Institusi TVET dan program-program yang ditawarkan oleh setiap Institusi TVET ini.

“Saya berharap Karnival TVET Negeri Melaka akan dapat diadakan secara tahunan dalam usaha memperkasakan dan merancakkan lagi TVET di negeri ini.

“Saya juga menyeru kepada pihak industri yang ada di Melaka ini untuk menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan bidang TVET kepada seluruh lapisan masyarakat seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka,” katanya.

photo1667018891
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (lima dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli-ahli Majlis TVET Negeri Melaka pada Majlis Pelancaran TVET Negeri Melaka dan Karnival TVET 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian ketika melancarkan penubuhan Majlis TVET Negeri Melaka dan perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerjaya Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

Menurut Sulaiman, sepanjang tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan.

Meskipun begitu, katanya, kesedaran orang ramai khususnya ibu bapa dan pelajar terhadap kerjaya bidang TVET belum mencapai tahap yang disasarkan.

Justeru, beliau berharap pendedahan seawal usia muda dapat dilakukan agar anak-anak lebih celik tentang potensi laluan kerjaya TVET.

“Pada masa sama, aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET juga perlu ditambah baik,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1919
Kongsi :
Previous post TVET bukan lagi bidang pendidikan kelas kedua – KM
Next post Melaka jadi negeri penderma organ tertinggi
Ubah saiz-+=