TYT hadir Majlis Sambutan Jubli Emas PENAMA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT BARU 20 Dis. – Sketsa ‘Wira Tidak Diundang’ berkisarkan perjuangan kemerdekaan Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang mendermakan gelang tangan emas kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menarik perhatian Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Sketsa yang memaparkan lakonan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita pertama yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan itu bagi membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk rundingan kemerdekaan Malaysia seakan dirasai oleh tetamu yang hadir Majlis Sambutan Jubli Emas Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM) di sini hari ini.

Terdahulu, ketibaan Mohd Ali bersama isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman pada jam 11.30 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Senator Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad serta Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) yang juga Timbalan Pengerusi PERPUSTAM, Datuk Wira Othman Muhammad.

Majlis diteruskan dengan penyampaian deklamasi sajak yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan yang bertajuk ‘Kembalikan Hak Pustaka Pusaka’.

Dalam majlis berkenaan, Mohd Ali turut menyampaikan Anugerah Tokoh PENAMA yang diberikan kepada Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009, Prof Datuk Dr Sidek Baba.

Turut disampaikan pada majlis itu, Sijil Penghargaan Khas PENAMA kepada beberapa penerima termasuk Mohd Raus Md Sam, Mat Yusof Mat Yatim dan Datin Wira Salimah Baba.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Prof Datuk Dr Sidek Baba dinobat Tokoh PENAMA
Next post Kerajaan meterai perjanjian pembelian vaksin COVID-19 esok
Ubah saiz-+=