TYT mahu program wakaf hasilkan pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam berhasrat melihat program wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di Melaka mampu menghasilkan pendapatan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-14, hari ini.

Mohd Ali turut menekankan peranan wakaf sebagai institusi perekonomian Islam selain berharap agar program wakaf dapat diperluaskan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Saya berhasrat untuk melihat usaha-usaha ke arah pengurusan pembangunan portfolio aset wakaf yang dinamik sehingga mampu menghasilkan pendapatan.

“Seterusnya saya ingin menekankan peranan wakaf sebagai institusi perekonomian Islam yang memberi ruang kepada mereka yang berkemampuan menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi umat sejagat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, catatan sejarah peradaban Islam juga telah melakarkan bukti bahawa wakaf sebagai institusi amanah dan menyumbang kepada kemajuan bandar.

“Kemajuan bandar-bandar di wilayah Islam lebih besar daripada kemajuan yang dikecapi  barat pada era pertengahan dengan membiayai pembinaan dan penyelenggaraan perkhidmatan tanpa melibatkan dana kerajaan,” katanya.

Mohd Ali turut mengingatkan agar, pentadbiran kerajaan memberikan perhatian serius terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam termasuk bidang pendidikan serta ekonomi yang menjadi keutamaan.

Jelasnya, kerana ia adalah benteng sebenar mempertahankan akidah dan maruah umat Islam di Melaka.

Views:

451
Kongsi :
Previous post Teks ucapan penuh TYT Melaka sempena pembukaan Persidangan Kedua Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14
Next post Martabatkan Dondang Sayang, silat sebagai identiti Melaka
Ubah saiz-+=