Ujian sebenar Melaka FC bermula…

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

KOTA LAKSAMANA 26 Februari – Saingan Liga M3 yang membuka tirai Mac ini bakal menjadi ujian sebenar Melaka Football Club (Melaka FC) untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

Dengan melengkapkan senarai 25 senarai pemain yang terdiri daripada pemain muda dan berpengalaman, pasukan itu perlu membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar pelengkap, sebaliknya menjadi pencabar utama liga.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, hanya satu harapan diletakkan kepada pasukan baharu itu iaitu kembali membawa Melaka ke kancah Liga Super pada musim depan.

Mekipun mengakui skuad kendalian Pedro Hipolito itu masih mempunyai kelemahan tertentu, namun beliau tetap optimis disiplin dan semangat juang pemain dapat memacu pasukan ke arah kejayaan.

“Saya amat berharap pasukan yang ada ini menunjukkan kerjasama yang mantap selain dapat menjadikan setiap perlawanan seperti di final supaya kita dapat berada di kelompok teratas untuk naik ke Liga Super.

“Dengan kehadiran bekas penjaring terbanyak liga sebelum ini, Guilherme de Paula yang dipinjamkan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), saya pasti, ia sedikit sebanyak dapat membantu jentera serangan kita.

“Pada masa sama, kita juga perlu memperbaiki bahagian pertahanan supaya kita memperoleh keputusan yang baik di setiap perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pegawai Pasukan serta Pelancaran Jersi Melaka FC di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Majlis itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Liga Amatur Malaysia (AFL) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan barisan Exco FAM serta MAFA.

Pada majlis itu, Melaka FC telah memperkenalkan jersi baharu pasukan dengan warna merah dipilih sebagai jersi bagi aksi laman sendiri dan warna putih sebagai jersi tempat lawan.

Turut dilancarkan logo rasmi baharu pasukan yang masih mengekalkan lambang pokok sebagai simbol utama, selain menampilkan bentuk heksagon dengan warna merah, biru dan kelabu.

Ditanya mengenai perubahan logo tersebut, Nur Azmi menjelaskan logo yang dipaparkan sebelum ini bukanlah logo rasmi Melaka FC, sebaliknya merupakan logo sementara bagi melengkapkan proses pendaftaran pasukan.

“Logo sebelum ini kita terpaksa hantar ke AFL secepat mungkin dan kita telah maklumkan bahawa logo rasmi masih dalam proses kemas kini.

“Jadi, setelah dibawa ke jawatankuasa, dan kita sebulat suara telah memilih logo baharu ini untuk digunakan dalam saingan Liga M3 musim ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan perubahan venue laman sendiri Melaka FC daripada Stadium Hang Tuah kepada Stadium Hang Jebat.

Katanya, perubahan saat akhir itu terpaksa dilakukan selepas Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP) AFL mendapati Stadium Hang Tuah tidak menepati piawaian yang ditetapkan.

“Saya memilih Stadium Hang Tuah atau Stadium Kubu kerana ia ada sejarah tersendiri dan menjadi aura baharu buat pasukan, tetapi kita terpaksa berpindah ke Stadium Hang Jebat.

“Dan saya difahamkan Stadium Hang Jebat juga mempunyai masalah membabitkan padang yang tidak rata yang mana saya memohon kepada Ketua Menteri dan Majlis Bandara Melaka Bersejarah (MBMB) agar memperbaiki masalah ini supaya tidak timbul sebarang isu di kemudian hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2126
Kongsi :
Previous post 100 usahawan Morten Walk terima insentif berjumlah RM250,000
Next post UDA komited perkasa usahawan tempatan
Ubah saiz-+=