100 usahawan Morten Walk terima insentif berjumlah RM250,000

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Februari – Seramai 100 usahawan di Hab Keusahawanan Morten Walk menerima insentif berjumlah RM250,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, insentif itu diberikan oleh kerajaan menerusi Program Pembangunan Usahawan UDA di bawah agensi UDA Holdings Berhad (UDA).

Katanya, insentif tersebut dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkelayakan, berdaya maju dan berdaya tahan dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Menerusi UDA, kita mengambil langkah proaktif dalam membangunkan Hab Keusahawanan Morten Walk dan penyediaan fasiliti di lokasi strategik serta kondusif.

“Selain itu, UDA turut menyediakan insentif pembiayaan dalam bentuk rebat sewa, kos pengurusan atau manfaat fasiliti yang disalurkan kepada 100 usahawan di sini dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM250,000.

“Pengoperasian Hab Keusahawanan Morten Walk juga dianggarkan dapay membuka 1,500 peluang pekerjaan,” katanya dalam ucapannya pada program lawatannya ke Morten Walk, Kampung Morten, di sini, hari ini.

photo1677320924
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bersama Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menaiki bot loncat-loncat menyusuri Sungai Melaka pada program Morten Walk, Kampung Morten, Melaka. Foto: MR. AZLI

Turut hadir Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan serta Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Mohd Salem Kailany;

Menerusi program ringkas itu, seramai 14 usahawan menerima surat tawaran perniagaan yang dijangka beroperasi pada pertengahan April tahun ini.

Mengulas lanjut, dalam ucapannya, Ewon Benedick turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan mengangkat golongan usahawan.

“Peruntukan keseluruhan berjumlah RM732 juta yang merangkumi RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus.

“Sejumlah RM30 juta diperuntukan bagi penyediaan ruang niaga strategik usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penjaja kecil di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub (Hab Keusahawanan) oleh UDA Holdings Berhad, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 semalam (Jumaat),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4151
Kongsi :
Previous post Melaka FC ‘garang’ berwarna merah
Next post Ujian sebenar Melaka FC bermula…
Ubah saiz-+=