UMNO Melaka teguh menyokong MKT

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MASJID TANAH 4 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Melaka menyokong penuh terhadap ketetapan diputuskan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi mesyuarat itu, keputusan bersama telah dimuktamadkan dan perhubungan parti negeri menyokong keputusan dibuat pucuk pimpinan dalam menangani isu politik ketika ini.

Sehubungan itu, katanya Badan Perhubungan UMNO negeri mengesa Ahli Parlimen UMNO yang dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mematuhi ketetapan parti dengan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia.

“Kita tidak berbelah bagi (menyokong) dalam keputusan parti yang menyatakan bahawa meminta semua yang menjawat Menteri, Timbalan Menteri dan juga Pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk bersama parti.

“Jadi, telah diazamkan selepas Persidangan Agung UMNO (PAU) hingga keputusan dibuat semalam, kita bersetuju segala keputusan diserahkan kepada keputusan dibuat semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kedudukan Melaka juga masih sama memandangkan tiada wakil rakyat yang bergabung bersama UMNO mengumumkan untuk menarik sokongan.

“Ini maknanya kita (kerajaan) masih seperti dahulu,” katanya.

Berdasarkan rekod, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang selepas Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri baharu pada Mac tahun lalu.

Daripada 28 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) Melaka mempunyai 14 kerusi, BERSATU dua kerusi, PH 11 kerusi dan Bebas satu kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post UMNO jangan sombong…
Next post Kerajaan negeri Melaka masih kukuh
Ubah saiz-+=