UOB Malaysia jangka pelaburan raih semula momentum tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 5 Okt. – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menjangka situasi pelaburan di Malaysia meraih semula momentumnya antara tahun 2021 dan 2022.

Bank itu berkata, ini susulan tumpuan kerajaan dalam usaha memulihkan semula iklim pelaburan dan langkah yang diambil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menarik dan mempercepat proses kelulusan pelaburan serta peluang perniagaan daripada normal baharu pasca pandemik dan pemulihan beransur-ansur ekonomi.

“MIDA telah menubuhkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) bagi mempermudahkan kelulusan perniagaan terutamanya dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek yang diluluskan berjaya dalam tempoh 24 bulan,” kata bank itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Setakat Julai 2020, MIDA mempunyai sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan RM35.9 bilion dalam perancangan bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dengan kelulusan pelaburan ini akan membantu memulakan pelaburan swasta pada 2021-2022, kata UOB Malaysia.

“Meskipun kesan pandemik yang masih berterusan serta risiko prospek pertumbuhan lemah ekonomi Malaysia, kelulusan pelaburan setakat ini mewakili  61.8 peratus daripada pelaburan dilulus tahun penuh Malaysia semasa krisis kewangan global pada 2009 dan telah mencapai 64.8 peratus daripada sasaran tahun penuh 2020 kita pada RM100 bilion,” kata bank tersebut.

Sementara itu, pelaburan dilulus dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan bagi tempoh separuh pertama 2020 berjumlah RM64.8 bilion iaitu 38.4 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, kira-kira 69.8 peratus atau RM45.3 bilio adalah pelaburan domestik manakala baki 30.2 peratus atau RM19.5 bilion adalah pelaburan langsung asing.

Kelulusan pelaburan pembuatan mengatasi kelulusan pelaburan perkhidmatan buat pertama kalinya sejak 2010, manakala kelulusan pelaburan utama mencatatkan paras terendah.

– BERNAMA

Views:

424
Kongsi :
Previous post Pencemaran Sungai Batang Benar: Negeri Sembilan tunggu laporan terperinci
Next post Pengusaha pelancongan di zon merah perlu bersedia rangka pakej menarik
Ubah saiz-+=