Usul lanjut Subseksyen 4(5) Sosma tidak diluluskan Dewan Rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Mengumumkan keputusan undi itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

“Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas, kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen itu disemak dan diluluskan oleh Parlimen ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.

Terdahulu, seramai 16 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu, dengan rata-rata blok pembangkang yang tidak bersetuju atas alasan khuatir pelanjutan subseksyen berkenaan disalah guna bagi tujuan politik.

Menjawab perkara itu, Hamzah berkata ia hanyalah persepsi negatif yang tidak benar, memandangkan Subseksyen 4 (3) akta itu dengan jelas menyatakan, tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah subseksyen berkenaan, hanya kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

“Maka tidak timbul tentang isu politik yang disalah guna PDRM. Pada hemat saya, saya tak percaya bahawa PDRM berpolitik dalam mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa SOSMA 2012 tidak akan dihapuskan, kerana ia amat baik demi menjaga keselamatan negara, sebaliknya hanya perlu ditambah baik.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post Kiosk kontemporari RM1.5 juta ganti Kafe Bas Klebang
Next post Kerajaan setuju cadangan perintah perceraian, tuntutan nafkah secara serentak
Ubah saiz-+=