Sorting by

×

UTeM berjaya jimatkan penggunaan tenaga RM9 juta

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan penjimatan penggunaan tenaga sebanyak RM9 juta dari 2015 sehingga pertengahan 2021.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pencapaian itu kejayaan besar kerana dalam tempoh enam tahun UTeM mampu mencapai penjimatan tenaga elektrik sebanyak 25 juta kilowatt jam (kwj).

Menurutnya, ia turut memberikan impak berganda dalam aspek kawalan pembebasan karbon dioksida (CO2) yang berjaya dikurangkan sebanyak 14,559 tan sekali gus menghasilkan purata pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 19 peratus pada setiap tahun.

Katanya, kejayaan itu menerusi formula strategik yang dibangunkan secara dalaman oleh pihak UTeM dan ia membuahkan hasil selari aspirasi negara bagi pengurusan tenaga.

“Antara pengisian formula strategik UTeM bermula dengan pembentukan sumber manusia yang dinamik dan komited dalam menjayakan agenda ini di samping penerapan teknologi berasaskan Revolusi Industri (IR 4.0).

“Turut diadakan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan (Government Green Procurement) seperti penukaran peralatan cekap tenaga yang mana lebih 50 peratus lampu LED telah digunakan di kampus induk,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Raha berkata inisiatif itu turut mendapat kerjasama agensi luar seperti Suruhanjaya Tenaga dan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC).

Untuk rekod dalam tempoh pencapaian penjimatan tenaga ini UTeM turut meraih kejayaan berganda apabila menempa kemenangan bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional malah global.

Antara kejayaan itu adalah merangkul Anugerah Hijau Negeri Melaka 2016, penarafan ASEAN Energy Management Gold Standard (EMGS) 1 bintang pada 2016 dan Penarafan ASEAN Energy Management Gold Standard (EMGS) 2 bintang pada 2018.

Selain itu, Anugerah Khas dari Republic of Croatia dan anugerah emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE 2021) menerusi Product-OptiDR-Simulator diketuai penyelidik Ts. Dr. Mohamad Fani Sulaima (Pengurus Tenaga UTeM) yang mana produk itu bagi analisis penggunaan tenaga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1116
Kongsi :
Previous post Percepat vaksinasi sebelum buka kedai
Next post Soal rakyat kekal di hati Muhyiddin
Ubah saiz-+=